Sunday, November 8, 2009

Aku rela & bersyukur....

Aku rela dan akur dengan kuasa Allah s.w.t. yang telah menjemput mama pulang ke rahmatullah.

Aku rela melepaskan mama kerana aku yakin, Allah s.w.t. lebih menyayangi mama.

Aku rela mama 'pergi' kerana tidak sanggup melihat mama menanggung kesakitan akibat kuman kanser yang telah merebak ke bahagian otak mama dan kedua buah pinggangnya yang sudah tidak berfungsi lagi.

Aku rela dengan seikhlas hati mengorbankan kerjayaku demi menjaga mama.

Aku rela dan akur dengan kuasaNya, aku berpeluang untuk menjadi orang yang pertama mengetahui sakit mama ketika Doktor mengesahkan mama menghidap kanser kelenjar.

Aku rela dimarahi ayah dan kakak kerana degil untuk 'online camera' dengan adik yang berada di Canada untuk menatap wajah mama pada hari terakhir mama bernafas.

Aku bersyukur menjadi orang pertama mendengar kata-kata dari Doktor yang mama hanya mampu bertahan kurang dari 24jam untuk hidup.

Aku bersyukur kerana menjadi orang pertama dan terakhir yang sempat melafazkan kalimah syahadah di telinga mama ketika mama melepaskan nafas terkahirnya.

Aku bersyukur kerana berpeluang memohon ampun dari mama dan melafazkan kemaafan pada mama agar dia dapat 'pergi' dengan tenang.

Aku bahagia kerana dapat melihat wajah terakhir mama yang tersenyum dengan manis setelah dikapankan.

Dan....

Aku rela menanggung rindu pada mama kerana...

Akulah anak yang paling manja dengan mama sehinggalah adikku dilahirkan.

Akulah anak yang mewarisi kebolehan dan minat yang sama dengan mama dalam bab memasak, menjahit dan berkraftangan.

Akulah anak yang paling degil sehingga mama tidak mampu menghalang hampir segala keputusanku.

Akulah anak yang sentiasa merajuk dengan mama bila mama menegur kesalahanku.

Akulah anak yang bertuah kerana berpeluang menjaga makan, minum dan membersihkan mama sepanjang mama sakit.

Puisi ini sempat kutulis ketika mama diagnosed Cancer Lymphoma....


Ingin aku melakar kisah cinta ini
Ingin aku berkongsi denganmu
Semua tangis, tawa, jerit dan perih

Kau curahkan kasih
Kongsi bahagia
Juga korban cita-cita
Demi masa depan dan cintamu pada kami

Namun, tiada siapa akan faham amarahmu
Tiada akan pernah endah nasihatmu
Jauh sekali untuk mengerti emosimu

Dan aku?
Masih tidak pandai tunjukkan cinta padamu
Hingga ke akhir tidak akan dapat membalas jasa
Tidak bererti pengorbananku

Ketika nafas terhenti kelak,
Hanya kaulah yang terbaik buatku dan aku adalah yang terbaik buatmu jua

Maafkanku jika aku tidak sempurna
Hanya kasihmu yang mampu membawaku ke syurga.



************************************************************************************

Selagi kita masih sempat memohon maaf pada kedua orang tua kita, lakukanlah...

Selagi kita masih bernyawa dan berpeluang, maafkanlah kedua orang tua kita dangan melafazkannya...

Selagi kita masih berdaya dan mampu, korbankanlah masa dan apa saja yang kita miliki buat kebahagiaan kedua orang tua kita...

Bersyukurlah padaNya atas kenikmatan yang diberi dan berterima kasihlah pada kedua orang tua kita atas kehidupan yang kita ada sekarang....







Alhamdulillah....aku masih lagi bernafas untuk menyambut hari lahirku pada tahun ini...amin



No comments:

Post a Comment

It's All About Love